Sudah seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berlangsung sejak penamaan calon pada 31 Oktober lalu. Pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan parti serta calon untuk mendekati pengundi, sekali gus cuba meraih kepercayaan mereka untuk memberikan mandat, Sabtu ini.
Meskipun kempen setakat ini dilihat agak sederhana, persaingan dijangka semakin sengit menjelang hari pengundian, sekali gus menuntut semua pihak memastikan gelanggang demokrasi kekal dalam lunas undang-undang, adab dan etika berpolitik. Kita mengingatkan parti dan calon bahawa pilihan raya bukan medan menghalalkan segala cara demi kemenangan. Persaingan politik memang membenarkan kritikan, perbezaan pendapat dan perdebatan dasar, tetapi semua pihak tidak wajar mencampuradukkan perkara yang bukan dalam lingkungan persaingan itu, walaupun mempunyai kaitan.








