Melaka: Ekonomi rakyat, khususnya usaha membantu peniaga kecil meningkatkan taraf hidup menjadi antara fokus Barisan Nasional (BN) dalam merangka manifesto mereka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, maklum balas masyarakat yang diperoleh menerusi pendekatan turun padang akan dijadikan panduan dalam merangka dasar ekonomi yang lebih menepati keperluan rakyat.

Menurutnya, pertemuan secara santai bersama penduduk, termasuk ketika bersarapan di kedai kopi, membuka ruang untuk beliau dan calon lain memahami cabaran serta kaedah masyarakat setempat meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi mencabar.