MELAKA: Isu kos sara hidup, perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata maklum balas yang diterima jentera parti setakat hari kedua kempen mendapati pelbagai keperluan asas masih membelenggu masyarakat setempat.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu, berkata antara isu utama yang dibangkitkan penduduk termasuklah kenaikan bil air, kesukaran memiliki rumah, akses bantuan kebajikan serta peluang pekerjaan dengan gaji setimpal.

"Peniaga kecil pula berdepan tekanan kos sewa premis serta kekangan modal untuk meneruskan perniagaan," katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PH Melaka, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.