KUALA LUMPUR: Tiada pelarian Rohingya antara lebih 10,000 warga Myanmar yang telah dihantar pulang ke negara itu setakat ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, program penghantaran pulang berkenaan melibatkan warga Myanmar tanpa mengira etnik, termasuk dari Arakan, Karen dan Shan.
“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang tapi ini masih lagi dalam perbincangan.
“Saya percaya Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden, Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.









