PUCHONG: Tidak semua beg tangan berjenama yang dibawa ke butik Hieda Natasha Monarchy mempunyai cerita mengenai kemewahan atau keinginan mendapatkan koleksi terbaharu, sebaliknya ada yang diserahkan kerana pemiliknya terdesak mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan dan keperluan keluarga.

Pengasasnya, Hieda Natasha berkata, setiap beg yang diterima mempunyai kisah tersendiri, malah pengalaman bertemu pelanggan dalam kesusahan turut mengubah perspektifnya terhadap perniagaan barangan terpakai atau preloved.

Bekas pramugari itu menjelaskan, semakin ramai pelanggan datang bukan sekadar mahu menjual beg untuk mendapatkan rekaan baharu, tetapi memerlukan wang bagi menampung kos perubatan dan menyelesaikan beban kewangan keluarga.