Kuala Lumpur: Trafik bergerak perlahan di beberapa lokasi di lebuh raya utama malam ini susulan peningkatan jumlah kenderaan apabila orang ramai mula bergerak pulang selepas cuti sambutan Deepavali berakhir.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat 8 malam ini, antara lokasi terjejas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 arah utara ialah dari Bidor ke Tapah, Kuala Kangsar ke Changkat Jering, Bukit Merah ke Bandar Baharu, Jawi ke Bandar Cassia dan Juru ke Perai.

"Bagi arah selatan E1, trafik perlahan dilaporkan dari Kepala Batas ke Plaza Tol Hutan Kampung, Gurun ke Sungai Petani Selatan, Sungai Dua ke Perai, Juru ke Bukit Tambun, Jawi ke Alor Pongsu, Gopeng ke Slim River serta Behrang ke Rawang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.