PETALING JAYA: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan tengah hari ini bersempena sambutan Deepavali.

Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), keadaan itu melibatkan beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

“Berdasarkan pemantauan setakat pukul 11.47 pagi ini, trafik di PLUS arah utara bergerak perlahan dari Bandar Ainsdale menuju ke Nilai.

“Keadaan sama turut dilaporkan di KLK arah timur dari sebelum Plaza Tol Gombak hingga ke Genting Sempah,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.