Kuala Lumpur:Isu gelandangan tampak tiada penyelesaian walaupun pelbagai langkah sudah diambil kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengatasinya.
Beberapa ruang awam di ibu negara termasuk kerusi rehat di laluan pejalan kaki masih menjadi tempat sebilangan gelandangan melelapkan mata seolah-olah itulah satu-satunya tempat mereka berteduh.
Selain itu, kaki lima bangunan, jejantas dan taman awam yang sepatutnya menjadi kemudahan orang ramai turut berfungsi sebagai 'bilik tidur' mereka sekali gus mencacatkan pemandangan.
Lebih membimbangkan keadaan itu bukan saja menimbulkan persoalan mengenai kebersihan dan keselesaan ruang awam, malah berpotensi menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan tempatan dan antarabangsa.









