Brussels: Pakar keselamatan penerbangan Eropah akan bermesyuarat di Brussels pada Rabu bagi membincangkan rentetan ancaman bom yang menjejaskan jadual penerbangan di seluruh Eropah, kata Jurucakap Suruhanjaya Eropah Anna-Kaisa Itkonen pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Bercakap pada taklimat tengah hari di Brussels, Itkonen memaklumkan bahawa mesyuarat itu bakal menghimpunkan pakar keselamatan penerbangan dari negara anggota Kesatuan Eropah (EU) serta Norway, Switzerland dan Iceland.
Mesyuarat yang dikenali sebagai Jawatankuasa Keselamatan Penerbangan itu akan menumpukan kepada situasi semasa serta langkah yang boleh diambil bagi menangani ancaman terbabit, katanya.
Beliau berkata suruhanjaya itu bersedia untuk menyokong usaha berkenaan dan menyumbang ke arah memastikan penyelarasan terbaik dalam kalangan negara peserta.









