Harimau Malaya bukan sekadar haiwan liar menghuni hutan belantara di negara ini, sebaliknya lambang keberanian, kekuatan dan kedaulatan tanah air. Dua harimau megah pada Jata Negara, gelaran skuad bola sepak kebangsaan dan lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerlahkan kedudukannya dalam identiti nasional.
Namun, apakah maknanya segala simbol itu jika raja rimba sebenar akhirnya pupus dari bumi ini? Hakikatnya, Panthera tigris jacksoni kini berdepan ancaman kepupusan kritikal apabila Survei Harimau Kebangsaan Pertama antara 2016 hingga 2020, menganggarkan populasinya kurang 150 ekor, berbanding kira-kira 3,000 ekor tujuh dekad lalu. Kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 400 ekor menjelang 2030, malangnya jurang antara harapan dengan realiti semakin melebar.









