PETALING JAYA: Jangan hanya hadir memberi sokongan selepas atlet bergelar juara, sebaliknya bantuan sewajarnya perlu disalurkan lebih awal bagi memastikan mereka mampu mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

Itu harapan petarung muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, yang mahu Majlis Sukan Negara (MSN) memainkan peranan lebih besar dalam membantunya memburu pingat emas pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Aliff, 22, yang pernah menghadiahkan emas kategori 54 kilogram (kg) pada Sukan SEA Vietnam 2021, berkata kesediaannya kembali menyarung jersi negara tidak pernah pudar, namun sokongan termasuk elaun bulanan amat diperlukan bagi menampung kos latihan, pemakanan dan persiapan sebagai petarung profesional.