KUALA LUMPUR: Keluarga kepada 54 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam banjir di Nepal-Tibet meluahkan kekecewaan berikutan beberapa persoalan yang belum terjawab serta komunikasi yang disifatkan tidak memuaskan, selepas 72 hari tragedi itu berlaku.

Jurucakap Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam, berkata antara perkara yang paling membimbangkan keluarga ialah permintaan supaya mereka memohon sijil kematian mengikut ordinan baharu Nepal, tanpa penjelasan terperinci mengenai implikasi perundangannya di Malaysia.

Ordinan berkenaan memendekkan tempoh menunggu bagi pengeluaran sijil kematian kepada mangsa bencana yang tidak dapat dikesan daripada 12 tahun kepada 45 hari.