KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana belum menerima sebarang surat atau arahan rasmi berhubung keputusan mengembalikannya ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang daripada peguam yang mewakilinya, Rafique Rashid Ali, berkata anak guamnya itu masih mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas seperti biasa termasuk mempengerusikan mesyuarat agensi berkenaan selagi belum menerima sebarang arahan rasmi.

"Beliau masih belum menerima sebarang arahan atau surat rasmi. Jadi, beliau menjalankan tugas kerana masih mempunyai kuasa sebagai ketua pengarah.

"Sehingga sekarang, beliau juga masih belum didapati bersalah. Jadi, beliau boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya seperti biasa," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah hari ini.