BAYANGKAN seseorang tiba-tiba rebah di depan kita. Dalam keadaan cemas, adakah kita tahu tindakan yang perlu diambil sementara menunggu ambulans tiba?

Bagi mangsa henti jantung, bantuan awal amat penting kerana setiap minit tanpa resusitasi kardiopulmonari (CPR) boleh mengurangkan peluang untuk terus hidup. Oleh itu, kemahiran Bantuan Asas Hayat perlu dikuasai masyarakat, bukan hanya petugas kesihatan.

Menurut garis panduan Persatuan Jantung Amerika (AHA) 2025, CPR yang dilakukan segera berpotensi meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa henti jantung sebanyak dua hingga tiga kali ganda.

Namun, kajian terhadap 5,087 kes henti jantung di luar hospital di Pulau Pinang dari April 2023 hingga Mac 2024 mendapati hanya 43.5 peratus mangsa menerima CPR daripada orang awam.