PETALING JAYA: Peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 masih terbuka biarpun tewas 0-2 kepada Palestin dalam aksi pembukaan kelayakan Kumpulan E, kelmarin.

Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Shukor Adan berkata, skuad negara tidak boleh dibelenggu kekecewaan, sebaliknya perlu bangkit memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Saya sudah bercakap dengan pemain bahawa perkara ini belum mustahil lagi kerana kita masih mempunyai peluang. Kita perlu melupakan apa yang berlaku malam ini (kelmarin) dan tidak boleh terus tunduk.

“Kita kena fokus kepada perlawanan seterusnya, sama ada perlawanan kedua atau ketiga. Jangan kalah sekali, semua perlawanan kita kalah, Paling penting, kita perlu terus memberikan motivasi kepada pemain,” katanya.