KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas menimbulkan persoalan baharu mengenai tanggungjawab profesional dan liabiliti undang-undang, namun doktor, pengarah syarikat serta golongan profesional lain tetap bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang dibuat dengan bantuan AI, kata Peguam Negara Dusuki Mokhtar hari ini.
Beliau berkata golongan profesional perlu memahami tahap kebolehpercayaan dan batasan sistem AI serta mengetahui bila mereka perlu mempersoalkan hasil yang dikeluarkan teknologi itu.








