Pembinaan jajaran ECRL di Terengganu liputi jarak sepanjang 242km, rangkumi 6 stesen, iaitu Chukai, Kemasik, Dungun, Kuala Terengganu, Bandar Permaisuri dan Jertih. KUALA TERENGGANU: Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dijadual mula beroperasi pada pertengahan Disember, dijangka jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Terengganu.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehubungan dengan itu, kerajaan negeri menggesa golongan pengusaha dan peniaga di negeri itu agar mengambil peluang serta memanfaatkan sepenuhnya kemudahan jaringan pengangkutan itu.

“Saya percaya ia boleh membantu dari segi ekonomi rakyat. Pengusaha-pengusaha perlu melihat bagaimana mereka boleh memanfaatkan ECRL semaksima mungkin, khususnya daripada segi pergerakan barangan dan memperluas aktiviti perniagaan dari satu tempat ke satu tempat yang lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) di Wisma Darul Iman.