MELAKA: Sebarang gesaan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal adalah tidak wajar kerana keputusan berhubung perkara itu merupakan hak prerogatif Perdana Menteri, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ditemui pada Majlis Himpunan Semarak Tani di Merlimau hari ini, beliau berkata sebarang keputusan berkaitan perkara berkenaan sewajarnya diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa gesaan daripada mana-mana pihak.

Mohamad Sabu diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang mencadangkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) untuk memberi mandat kepada rakyat memilih pemimpin dikehendaki mereka.