KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) melakar pencapaian perubatan bersejarah apabila berjaya memisahkan pasangan bayi kembar Siam lelaki jenis 'pygopagus' yang kedua di negeri ini pada 17 September, selepas pasangan pertama pada 2 Julai lalu.

Menerusi hantaran Facebook hari ini, HWKKS memaklumkan pembedahan berisiko tinggi itu dilaksanakan ketika bayi berkenaan berusia 40 hari.

"Kejayaan mengendalikan dua pembedahan pemisahan yang sangat kompleks dalam tempoh singkat menonjolkan komitmen dan keupayaan klinikal luar biasa pasukan perubatan tempatan di pusat rujukan pediatrik utama Sabah," menurut hantaran itu.

Pembedahan itu terpaksa diawalkan daripada perancangan asal selepas seorang daripada bayi itu mula memerlukan peningkatan sokongan pernafasan berikutan tekanan fisiologi ke atas sistem organ yang berkongsi.