PARIS – Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mencabar Gianni Infantino bagi merebut jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada pemilihan tahun depan.

Jurulatih berpengalaman itu dikatakan sedang meneliti secara serius peluang untuk menawarkan diri merebut jawatan Presiden FIFA selepas diberikan harapan besar oleh beberapa tokoh berpengaruh bola sepak Eropah, sejak beberapa minggu lalu.

Infantino masih mendapat sokongan daripada beberapa konfederasi termasuk Amerika Selatan, Afrika dan Asia, malah sebelum ini mendakwa memiliki sokongan majoriti besar komuniti bola sepak dunia.

Bagaimanapun, ujian sebenar bakal dihadapi oleh Infantino sekiranya Wenger yang juga Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA menawarkan diri untuk bertanding kerana dijangka akan mendapat sokongan padu daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).