JOHOR BAHRU: Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bagi anggota Polis Bantuan bergantung pada ketetapan agensi yang menggaji mereka, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Beliau berkata perkara itu berikutan skim perkhidmatan Polis Bantuan berbeza daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), justeru penetapan gaji mereka ditentukan oleh agensi masing-masing.

“Sekiranya kerajaan mengarahkan agensi swasta menyelaraskan gaji minimum, perkara itu perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) Ke-37 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang dijangka dilaksanakan kerajaan tahun depan, termasuk keperluan GLC menyelaraskan kadar gaji anggota Polis Bantuan.