JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Siti Sapura Husin menyumbang 2,000 set kerusi dan meja kepada enam Sekolah Agama Kerajaan Johor bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Siti Sapura Husin Syed Hussain Syed Junid, berkata pemilihan YSIJ sebagai rakan kolaborasi di negeri berkenaan didorong oleh rekod cemerlang dan keaktifan yayasan diraja itu dalam menyantuni kebajikan rakyat Johor secara menyeluruh.
"Kebersamaan fokus antara Yayasan Siti Sapura Husin dan YSIJ menjadi faktor utama kerjasama terjalin antara dua yayasan ini. Kedua-dua pihak memberikan penekanan sama terhadap teras utama, iaitu pemerkasaan pendidikan, pembelaan golongan asnaf serta bantuan perubatan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.










