Industri perbukuan Malaysia sedang berubah dengan pantas. Permohonan nombor buku standard antarabangsa elektronik (eISBN) meningkat 78.07 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, dan 4,544 permohonan direkodkan sehingga Ogos 2026. Penerbitan sendiri atau swaterbit pula meningkat 56.76 peratus pada 2025. Perkembangan ini mencerminkan perubahan ketara dalam cara buku dihasilkan, dipasarkan dan sampai kepada pembaca.
Nilai industri buku negara diunjurkan mencecah RM6 bilion hingga RM7 bilion menjelang akhir 2026. Namun, di sebalik pertumbuhan ini, timbul persoalan penting: adakah kemajuan teknologi benar-benar memperluas akses kepada ilmu atau sekadar menambah kandungan tanpa menjamin mutu dan integritinya? Persoalan ini semakin mendesak apabila kecerdasan buatan (AI) generatif mula mempengaruhi pelbagai proses penerbitan, daripada penghasilan teks dan ilustrasi hingga penterjemahan.








