Setiap titik yang bergerak pada peta digital bukan sekadar menunjukkan kedudukan kapal, sebaliknya membawa harapan dan nasib insan yang mempertaruhkan keselamatan demi misi kemanusiaan untuk Gaza.
Di sebalik paparan itu, ada seorang pensyarah yang memilih untuk menggunakan kepakaran dimiliki bagi membantu perjuangan kemanusiaan, meskipun sumbangannya tidak kelihatan di hadapan mata.
Bagi Pensyarah Kanan Teknologi Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Hafiz Md Hanif, 42, ilmu yang dimiliki bukan sekadar untuk dikongsi dalam bilik kuliah, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
Berasal dari Serendah, Selangor, beliau pada awalnya membina kerjaya dalam bidang pendidikan selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Instruksional di Universiti Malaya (UM).










