Melaka: Sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dibuka serentak pada 8 pagi ini bagi membolehkan rakyat di negeri berkenaan memilih kerajaan baharu untuk penggal akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat untuk mengisi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan jangkaan keluar mengundi mencecah 70 peratus.

Proses pengundian hari ini dijadualkan berlangsung sehingga 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari pada 11.59 malam tadi.

Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN kali ini, termasuk 12,531 orang tentera dan pasangan serta polis yang telah menunaikan tanggungjawab menerusi pengundian awal pada Selasa.