KUALA LUMPUR – Malam kemuncak Festival Filem Video Pelajar Malaysia (FFVPM) ke-14 bertukar menjadi pentas kemenangan mutlak Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila diangkat sebagai juara keseluruhan selepas menyapu bersih 10 daripada 22 anugerah yang dipertandingkan.
Pada malam malam kemuncak di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) malam tadi, UiTM menewaskan saingan sengit tuan rumah, ASWARA yang mengekori rapat di tempat kedua menerusi kemenangan sembilan anugerah.
Dominasi UiTM disumbangkan menerusi naskhah Kola Loompor arahan Aween Aisham yang merangkul anugerah tertinggi, iaitu Anugerah Keseluruhan (Best of The Best), sekali gus membawa pulang trofi berserta Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000 di bawah Dana Pemangkin Generasi MADANI.









