KUALA LUMPUR: Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor terus menyantuni golongan memerlukan walaupun di luar waktu operasi menerusi Khidmat Bantuan 24 jam.

Terbaharu, kes dikendalikan pasukan itu membabitkan seorang ibu muda bersama tiga anak kecil yang hadir di pejabat Zakat Selangor selepas waktu operasi untuk mendapatkan bantuan tempat berlindung susulan masalah rumah tangga.

Menerusi perkongsian di Facebook Zakat Selangor, wanita berkenaan yang datang dari Pantai Timur ke Selangor bersama anak-anak tanpa sempat membuat perancangan tempat tinggal.

Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa mencari bilik sewa sambil menguruskan tiga anak kecil yang keletihan selepas menempuh perjalanan jauh.