KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengusahakan pendekatan terbaik bagi memastikan seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang hamil tidak meninggalkan alam persekolahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan keluarga mangsa serta pihak sekolah bagi mencari penyelesaian yang membolehkan kanak-kanak itu meneruskan persekolahan sesuai keadaan dan keupayaan kesihatannya.
"Kita akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan keluarga. Jika boleh, kita tidak mahu kanak-kanak ini dihalang daripada bersekolah.
"Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira keadaannya dan mungkin ada perkara yang perlu dirundingkan bersama keluarga serta pihak sekolah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Program SPA @ Mind Games 2026 di sini, hari ini.









