KUALA LUMPUR: Senarai pemain yang bakal digugurkan daripada skuad badminton negara masih dalam penelitian barisan kejurulatihan sebelum keputusan muktamad dibentangkan kepada pihak pengurusan pada mesyuarat Disember depan.

Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, pihaknya sudah mendapatkan maklum balas daripada jurulatih berhubung senarai pemain yang berkemungkinan digugurkan, termasuk pemain yang disenaraikan untuk TID (Pengenalpastian Bakat).

"Senarai berkenaan masih dalam proses penelitian dan belum dimuktamadkan sebelum dibawa ke peringkat pengurusan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei memberi bayangan bahawa beberapa pemain bakal disingkirkan dan ia mungkin turut membabitkan pemain senior.