Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, pertambahan kenderaan persendirian menyumbang kepada kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing, sekali gus jejas produktiviti rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kira-kira 40.77 juta kenderaan berdaftar direkodkan di Malaysia, dengan 26.6 juta atau sekitar 65.3% daripadanya masih aktif, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Loke berkata, angka itu menunjukkan peningkatan kira-kira dua juta kenderaan berbanding 38.7 juta yang didaftarkan pada akhir 2024.

Katanya, sekitar 1.62 juta kenderaan baharu didaftarkan pada 2025, terdiri daripada 847,000 kereta dan 703,000 motosikal.

"Daripada jumlah aktif ini 26.6 juta, hampir 16 juta adalah kereta dan 9.57 juta adalah motosikal," katanya bagi menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli).