Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada desakan membubarkan Parlimen selagi memiliki sokongan majoriti.
KLUANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal selagi beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata kerajaan pimpinan Anwar masih mempunyai baki kira-kira setahun sebelum tamat penggal pentadbiran, justeru tempoh itu wajar dimanfaatkan untuk menumpukan perhatian kepada pelaksanaan agenda reformasi dan dasar penting negara.
“Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab perlu ditunduk kepada mana-mana tekanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026 di sini hari ini.






