KLUANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada sebarang tekanan untuk membubarkan Parlimen selagi beliau masih mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembubaran Parlimen merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai pertimbangan sendiri untuk menentukan masa yang sesuai mengadakan pilihan raya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong."Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab perlu tunduk kepada mana-mana tekanan."Sudah tentu Perdana Menteri ada pertimbangan bila beliau nak adakan pilihan raya dan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong," katanya.Beliau berkata demikan pada sidang akhbar selepas Majlis Konvesyen Tahunan DAP Johor di sini pada Ahad.Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini.Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, adalah lebih baik pembubaran Parlimen dibuat bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menjelaskan tempoh mandat kerajaan ketika ini masih berbaki kira-kira setahun dan Perdana Menteri seharusnya memanfaatkan tempoh berkenaan untuk melaksanakan reformasi serta beberapa agenda penting.Katanya, antara perkara yang perlu diberikan tumpuan ialah agenda reformasi perundangan yang kini berada dalam proses terakhir, termasuk beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan undang-undang baharu."Ia untuk memperkukuhkan tatakelola dan juga pengurusan kewangan negara kita serta memastikan agenda membanteras rasuah dapat diperkukuhkan."Jadi fokus dan agenda kerajaan, khususnya Perdana Menteri, seharusnya ke arah melaksanakan kerja-kerja tersebut dan reformasi itu bukannya tunduk kepada mana-mana tekanan untuk membubarkan Parlimen," katanya.Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan agenda berkenaan sepanjang baki tempoh pentadbiran sebelum mandat semasa berakhir.