Kuala Lumpur: Kejayaan merampas semula kejuaraan TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2026 menjadi kepuasan buat ketua jurulatih TNB Thunderstar, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor, selepas pasukannya menepati sasaran ditetapkan musim ini.

Meskipun tewas 1-2 kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam aksi terakhir di Stadium Hoki TNB, UNITEN, hari ini, Madzli tetap berpuas hati apabila anak buahnya sudah lebih awal mengesahkan gelaran itu menerusi kemenangan besar 16-0 ke atas Young Elephants Pahang, tiga hari lalu.

Kejayaan itu turut membawa makna tersendiri buat Thunderstar yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua musim lalu sebelum kembali mendominasi saingan tahun ini.

Madzli berkata, beliau kini mahu anak buahnya mengekalkan momentum bagi memburu satu lagi trofi, iaitu Piala TNB, selain memastikan pemain berada dalam keadaan cergas dan bebas kecederaan.