KUALA LUMPUR: Gandingan muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King, terus mencuri tumpuan apabila merangkul gelaran Masters Kumamoto selepas menewaskan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, dalam aksi final hari ini.
Aaron-Roy King mempamerkan semangat juang tinggi sebelum bangkit menundukkan pasangan tuan rumah itu menerusi kemenangan 16-21, 21-13, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 54 minit.
Kejayaan itu cukup bermakna buat gandingan berkenaan apabila mereka meraih gelaran kedua sejak digandingkan, selepas terlebih dahulu muncul juara Terbuka Artik bulan lalu.
Lebih menarik, kejayaan di Kumamoto itu menyaksikan Aaron-Roy King merekodkan kemenangan ketiga ke atas pasangan kelompok 10 terbaik dunia, meskipun kejohanan berkenaan baru penampilan kelima mereka dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).








