Kuala Lumpur: Gandingan muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King, semakin hampir mengukuhkan status sebagai beregu yang perlu diberi perhatian apabila menempah tiket ke final Masters Kumamoto, hari ini.

Kejayaan itu diraih selepas mereka menewaskan beregu ranking ke-14 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 21-18, 21-18 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 38 minit di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Roy King bakal membuat penampilan final kedua sejak digandingkan, sekali gus membuka peluang memburu gelaran kedua bersama selepas menjuarai Terbuka Artik bulan lalu.

Menanti mereka di pentas final ialah bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, yang pastinya menjadi ujian getir buat gandingan negara itu dalam misi menambah koleksi kejuaraan.