Kuala Lumpur : Bahang keterujaan peminat muzik rock tempatan semakin memuncak apabila konsert mega Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show yang bakal berlangsung kurang sebulan lagi pada 9 Disember depan bakal diserikan dengan penampilan penyanyi dan pemuzik antarabangsa, Ecca Vandal sebagai artis jemputan khas di persembahan pembukaan.
Pemilihan Ecca Vandal itu diundang sendiri oleh kumpulan legenda nu-metal berkenaan bagi memanaskan pentas sebelum persembahan utama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini.
Konsert berskala besar anjuran Hitman Solutions itu bakal mencipta sejarah tersendiri kerana menjadi persembahan sulung di Malaysia buat kedua-dua nama besar itu.
Ia sekali gus menjanjikan malam penuh bertenaga buat peminat muzik rock tempatan dan serantau.






