PONTIAN – Kegiatan pihak tertentu membuang sisa binaan secara haram masih belum reda apabila ia kembali aktif dengan 10 buah treler dikesan melakukan perbuatan itu di Mukim Rimba Terjun, di sini pada Jumaat lalu.
Tapak buangan yang telah ditutup pada 18 Ogos lalu itu dipercayai kembali didatangi kenderaan besar yang sarat dengan sisa binaan dikendalikan oleh empat syarikat lori.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Negeri (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, semakan dengan pihak kastam mendapati lapan lori mempunyai rekod kemasukan dengan muatan sisa batu dalam operasi pada 13 November itu.
Katanya, operasi juga mengesan dua buah lori tanpa rekod kastam serta tiada rekod operasi tetap mengikut urusan syarikat masing-masing dan keadaan di tapak terdapat sebuah jentera (jengkaut) dengan longgokan sisa bercampur.










