BERADA di dalam kamar istana diraja China yang dihiasi penuh kemewahan, sekumpulan pelancong mengerutkan wajah, melakonkan kemarahan dan meniru gerak-geri pengarah ketika diberi peluang membintangi drama mikro versi mereka sendiri.

Bagi Gao Saifei, 19, yang bercita-cita menjadi pelakon, peluang itu cukup bermakna. Beliau datang ke Hengdian World Studios, yang sering digelar 'Hollywood China', semata-mata untuk merasai pengalaman melakonkan babak daripada drama zaman silam popular negara itu.

Mengenakan jubah diraja China berwarna kuning, Saifei mengerutkan dahi sebelum berpura-pura menampar seorang gundik yang sedang melutut, manakala sekumpulan pelancong lain merakam aksi berkenaan.

"Saya berasa begitu puas dapat mengekspresikan diri," katanya kepada AFP dengan penuh teruja selepas lakonannya menerima tepukan daripada penonton.