KUALA LUMPUR: Selepas terlepas peluang bersaing pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi lalu, penyanyi Hafiz Suip menganggap pencalonan semula dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pada edisi ke-38 sebagai suntikan semangat untuk kembali menghangatkan perjalanan seni.
Malah, pelantun lagu Awan Nano itu tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila namanya kembali menjadi pilihan peminat, sekali gus membuka ruang untuknya mengubati kerinduan terhadap suasana industri muzik yang sudah lama tidak disertainya secara aktif.
Mengakui terkejut sebaik menerima perkhabaran berkenaan, Hafiz menyifatkan pencalonan itu sebagai satu bentuk kemunculan semula yang cukup bermakna selepas sekian lama tidak menyibukkan diri dengan acara seni.








