Berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima pada Mei lalu, pelakon Datin Lisa Surihani menyifatkan fasa kepulangan dari tanah suci sebagai satu kesinambungan perjalanan rohani yang menuntut keteguhan hati mendepani gelora dunia.

Lisa mengakui doa agar dikurniakan haji yang mabrur tidak pernah lekang daripada bibirnya sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, pelakon berusia 40 tahun ini sentiasa bersikap reda dengan realiti bahawa dirinya tetap perlu melayari kehidupan harian penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

"Selepas menunaikan haji, saya anggap ia masih satu perjalanan. Selagi saya bernafas, saya mendoakan sangat agar Allah kurniakan haji yang mabrur untuk saya. Kita boleh teruskan doa itu sampai ke akhir hayat.