Kuala Lumpur: Pengisytiharan taubat secara terbuka dibenarkan, malah dituntut dalam keadaan tertentu.
Ia terutama apabila kesalahan lalu membabitkan kepentingan awam, walaupun pada asasnya seseorang boleh bertaubat kepada Allah SWT tanpa perlu mendedahkan aib dirinya kepada masyarakat.
Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pengisytiharan terbuka wajar dilakukan jika seseorang pernah menyebarkan ajaran sesat, mempengaruhi masyarakat atau mengajak orang lain melakukan kesalahan.
Beliau berkata, ini sekali gus membetulkan kekeliruan yang pernah disebarkan dan mengumumkan diri seseorang itu sudah bertaubat daripada melakukan kesalahan lalu.








