Bukan semua graduan universiti memilih laluan kerjaya mengikut bidang pengajian, sebaliknya ada yang berani meneroka peluang berbeza demi mencari pengalaman, kebebasan dan kepuasan bekerja.
Bagi Danial Hariz Ahmad Hazman, 31, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), keputusan menceburi bidang servis dan pembaikan mesin basuh bukan bermakna ilmu yang ditimba selama bertahun-tahun di universiti diketepikan.
Sebaliknya, dia melihat pengetahuan kejuruteraan sebagai asas penting untuk memahami sistem mekanikal dan elektrik, sekali gus membantu menyelesaikan masalah perkakasan rumah yang digunakan setiap hari oleh hampir semua orang.
Pendidikan menengah pun bukan calang-calang, antara Tingkatan Satu hingga Tiga dia bersekolah di Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah, manakala Tingkatan Empat dan Lima menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER).








