PONTIAN – Penduduk mendakwa tiada pemantauan secara berkala ke atas pusat pembua­ngan sisa-sisa binaan yang ditu­tup menyebabkan ada pihak cuba menghidupkan kembali tempat itu.

Mereka merasa kesal kerana pihak berkuasa seperti lepas tangan apabila penguatkuasaan selesai dilakukan, namun setelah tiga bulan pembuangan sisa binaan kembali berulang di tapak yang telah ditutup.

Ahmad Daud Saeng, 59, berkata, jika sebelum ini maklumat yang terima seperti khabar angin sahaja, namun kini terbukti perbuatan menjadikan daerah Pontian sebagai dumping berulang kembali.

Katanya, penguatkuasaan serta larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Singapura pada 18 Ogos lalu agar segala penghantaran seperti itu dihentikan dilanggar dengan begitu mudah sekali.