KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus perniagaan di Malaysia menjangkakan kenaikan kos berterusan dalam tempoh dua tahun akan datang, mengatasi purata global 72 peratus dan ASEAN 79 peratus.
Tinjauan HSBC Global Trade Pulse 2026 mendapati 68 peratus perniagaan di Malaysia sudah berdepan kenaikan kos, mencerminkan tekanan berterusan terhadap perniagaan dalam negara susulan ketidaktentuan perdagangan dan peningkatan kos input.
Antara tekanan kos utama yang dilaporkan perniagaan di Malaysia dalam tempoh enam bulan lalu ialah kos pengangkutan dan bahan mentah, masing-masing dinyatakan oleh 55 peratus responden, diikuti kos tenaga sebanyak 53 peratus.
Dapatan itu menunjukkan perniagaan tempatan berdepan tekanan daripada pelbagai komponen kos operasi ketika berusaha mengekalkan daya tahan perniagaan dan menguruskan ketidaktentuan perdagangan.








