KUALA LUMPUR: Kekalahan kepada China mencetuskan kemungkinan berlaku rombakan dalam barisan kesebelasan utama Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang Yaman di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, petang esok.

Bayangan itu turut diberikan ketua jurulatih interim skuad negara, Tan Cheng Hoe yang mengakui masalah di bahagian tengah menjejaskan mutu persembahan Harimau Malaya ketika tewas 0-2 kepada China di gelanggang sama, sebelum ini.

Kedua-dua jaringan China dihasilkan pada separuh masa pertama, namun Harimau Malaya tampil dengan corak permainan lebih baik dalam babak kedua selepas beberapa pertukaran dilakukan Cheng Hoe.

Kemasukan pemain tengah, Haziq Kutty Abba dan Endrick Dos Santos serta tonggak serangan Richard Chin pada babak kedua dilihat membawa perubahan kepada permainan Harimau Malaya dengan mereka berpotensi disenarai dalam skuad utama berdepan Yaman.