MELAKA: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh kesiapsiagaan ketenteraan secara kolektif sebelum sebarang krisis tercetus, susulan perubahan landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks dan sukar diramal.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tiada negara boleh menganggap terkecuali daripada ancaman keselamatan yang berlaku di luar sempadan masing-masing, terutama ketika dunia berdepan perkembangan teknologi, ancaman siber dan cabaran keselamatan bukan tradisional.
Beliau berkata, kerjasama pertahanan dalam kalangan negara ASEAN perlu diperkukuh menerusi persefahaman, komunikasi berkesan dan mekanisme tindakan bersama bagi memastikan setiap angkatan tentera mampu bertindak pantas apabila berdepan situasi kecemasan.







