KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih yang meningkat kepada RM62.25 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026, daripada defisit RM45.23 juta pada suku yang sama setahun sebelumnya.

Hasil bagaimanapun meningkat 8.3 peratus tahun ke tahun kepada RM501.21 juta daripada RM462.77 juta yang disebabkan oleh pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan.

Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara itu memaklumkan, pertumbuhan hasil disokong oleh jumlah bungkusan dalam perniagaan kuriernya yang meningkat, selain sumbangan yang lebih baik daripada Pos Aviation, Pos Logistics dan perniagaan lain termasuk pensijilan digital, perkhidmatan data dan Pos Ar-Rahnu.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, kerugian bersih kumpulan itu mengecil kepada RM125.26 juta daripada RM132.17 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil bagi tempoh sembilan bulan itu meningkat kepada RM1.48 bilion daripada RM1.37 bilion setahun sebelumnya.