PUTRAJAYA: Pasaran hartanah negara merekodkan 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion pada suku ketiga 2026, meningkat 0.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan subsektor kediaman terus menguasai aktiviti pasaran.

Subsektor kediaman menyumbang 61 peratus daripada keseluruhan transaksi, diikuti subsektor pertanian sebanyak 18.5 peratus, sekali gus menunjukkan kediaman kekal menjadi penyumbang terbesar kepada aktiviti pasaran harta tanah negara.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Datuk Abdul Razak Yusak berkata, kerangka Ekonomi MADANI menyediakan asas untuk memperkukuh pasaran harta tanah negara serta memastikan manfaat pembangunan sektor itu dapat dinikmati rakyat.