Kuala Terengganu: Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu hari ini sempena Bengkel Pemantapan Penyiasatan dan Pendakwaan Jenayah Syariah Negeri Terengganu Tahun 2026.
Keberangkatan baginda disambut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.
Program diteruskan dengan sesi pembentangan taklimat oleh tiga agensi utama yang terlibat, iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) dan SPRM Terengganu.
Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Nor Adha Ab Gani dalam taklimatnya memberikan penerangan mengenai peranan, fungsi dan tanggungjawab SPRM khususnya dalam aspek pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah.








