KLUANG: Kegagalan dalam temuduga kerja sebanyak tiga kali tidak mematahkan semangat graduan sains tanaman, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk terus memilih bidang pertanian sebagai punca pendapatannya.
Bagi Muhammad Hasbullah Zainordin, 28, peluang yang diberikan menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) membolehkannya mengusahakan tanaman sawi Jepun, yang kini berjaya menembusi pasaran Singapura.
Memasuki tahun kedua mengusahakan tanaman di atas tanah seluas lebih satu hektar itu, Muhammad Hasbullah berkata beliau akhirnya mampu menarik nafas lega apabila berjaya meraih pendapatan bulanan mencecah lebih RM3,000.
Beliau berkata, program IPR-INTAN memberikannya peluang untuk menterjemah dan mempraktikkan segala ilmu yang dipelajarinya di UMT ke dalam dunia sebenar.









